Rugi

Aku mengibas baju tshirt yang tersarung di tubuh. Bukan main lencun lagi setelah sejam memasak. Peluh ku seka di dahi dengan hujung tshirt. Penat!

Lega kerana telah berbuat sesuatu yang bermanfaat untuk hari ini. Sebuah hal yang cukup sederhana iaitu memasak untuk pa dan ma yang akan berbuka puasa setengah jam lagi.

Aku menyandar di kepala sofa. Kepala ligat memikir sesuatu.

Sesuatu yang selalu bermain di benak fikiran. Satu perkataan yang ingin ku katakan kepada diri ku sendiri. Rugi.

Rugi apabila membiarkan masa terus berjalan. Masa itu emas. Itu ungkapan femes sejak bertahun lamanya. Namun, ternyata masa itu jauh lebih berharga dari seketul emas kerana masa tidak boleh dibeli. Masa tidak akan boleh berundur walau sesaat setelah ia pergi. Emas, bila bila masa boleh didapati asalkan engkau punya wang untuk memperolehinya. Masa, lebih berharga dari itu.

Seperti kata Umar Abdul Aziz, sekiranya kau berada di waktu pagi, jangan menunggu waktu petang. Sekiranya kau berada di waktu petang, jangan menunggu waktu pagi.

Sungguh, waktu itu sesuatu yang takkan kau boleh undur atau lajak ke depan. Ia akan sendiri berjalan tanpa didokong oleh sesuatu. Engkau akan sedar, waktu juga merupakan makhluk yang begitu taat pada penciptanya. Tidak sesekali ia akan melanggar perintah Tuannya.

Masa hanya boleh dirindui. Masa bukan sesuatu yang keadaan yang tetap. Seperti, memori dan kenangan. Ia berada dalam ruang waktu yang telah terjadi dalam perjalanan sehari hari yang kita jalani. Waktu dan masa berganding bahu dalam meniti bersama proses kehidupan kita.

Namun malang aku rasa, apabila aku jarang menghargai keberadaan waktu yang punya banyak ruang untuk aku isi tetapi aku biarkan ia berlalu. Tiada yang lebih rugi daripada ini.

Mata ku pejam rapat. Nafas turun naik perlahan mengikut ritma jantung yang mengepam. Fikiranku masih berjalan. Meninjau ninjau akan kotak memori dan segala macam kenangan yang telah berlalu dalam layar minda ku.

Betapa aku orang yang rugi kerana selalu meninggalkan ruang waktu yang ada. Bibir mengeluh perlahan.

"Maghrib dah. Bangunlah", suara pa mengejutkan aku. Aku segera membuka mata. Pa dah hilang ke dapur.

Lambat lambat aku bangun. Ada perkara yang utama perlu diselesaikan. Sekurang kurangnya, aku jarang solat hujung waktu.

Terima kasih kerana menghargai waktu.

1821pm/300320

Comments

Popular Posts