Seseorang
Aku melurutkan headphone merah ke leher. Terasa biol otak seketika apabila menyedari volume terlebih kuat daripada kebiasaan yang selalu aku dengar.
Kepala ku sembam ke meja makan. Aku melepak di dapur. Sebab aku jenis yang suka makan, maka waktu aku habis di situ saja. Seketika, aku mengangkat semula kepala. Mata meliar ke sekeliling dapur.
Disebabkan bapak aku seorang arkitek dan sukakan decoration rumah, maka, dapur kami boleh dikatakan dapur yang agak mewah susun aturnya. Dapur yang luas dan nampak elegan mempunyai kitchen island. Ada kerusi tinggi dua di hadapan. Di sebalik meja itu, ada singki dan tempat sejat pinggan mangkuk. Meja makan petak saja kerana aku hanya berdua dengan adik. Keluarga kami tidak besar. Cukup hanya berempat. Ma malas nak menambah kuantiti. Katanya, dia kurang penyayang. Makanya, lahir hanya dua ketul baby yang telah membesar panjang.
Aku menopang dagu pada meja petak. Berfikir sedikit mendalam. Apabila difikir semula, aku juga bukanlah seorang yang penyayang. Adik lelaki aku sangat penyayang kerana dia sukakan kucing. Kawan aku tegas mengatakan seseorang yang penyayang pasti mencintai kucing. Ya, aku boleh terima kenyataan itu dengan akal ku.
"Oit! Fikir apa ha?", bahuku ditepuk. Aku mendongak ke atas. Kimi jongket kening. Dia mengambil tempat di hadapan aku. Kerusi ditarik cermat.
Aku menyengih. "Nak carikan kau bakal abang ipar haa", selorohku.
Dia terseringai.
"Kau muda lagi. Penuhi cita cita kau dulu. Husband boleh cari kemudian", katanya. Nampaknya, Kimi memang tak lupa cita cita terbesarnya yang satu itu.
Mata kami berlaga. Aku menopang dagu. Dia memeluk tubuh.
"Lelaki suka ke perempuan independent, ngah?", soalku. Tetiba terlintas dalam hati pertanyaan itu.
"independent tang mana tu? Tengok jugaklah. Kalau tutup paip utama pun nak panggil dia, memang habislah kau kena maki. Sesia je", selorohnya lalu tergelak sendiri.
Aku tersengih.
"Ada benda yang perlu untuk independent. Ada benda yang tak perlu, aku rasa", komen Kimi.
"Benda yang tak perlu seperti?", aku menjongket kening. Kimi senyum.
"Cari nafkah", jawabnya sepatah.
Aku terdiam sejenak.
"Tapi kalau jenis aku yang bercita cita ni, yang bekerja keras untuk kehidupan aku, macam mana pulak?"
"Kau nego je laa. Sebab memang ada lelaki yang tak kisah semua tu tapi bukan aku la yang pastinya", kata Kimi. Matanya terarah ke gelas tinggi Nuuha. Segera ditarik ke sisi. Dalgona coffee dikacau kacau sebelum disedut dengan straw besi.
Aku angkat kening. Inginkan penjelasan lanjut. Kimi memandangku semula.
"Aku nak ikut jejak Ba", luahnya. Aku menggumam.
"Aku tak nak ikut Ma", kata ku jujur. Kening Kimi terjahit.
"Sebab kau tak betah di rumah?", laju Kimi meneka. Aku mengangguk pantas.
"Aku bukan jenis girly. Dengan erti kata lain, stick to home chores. Aku allergik weh", luahku.
"Aku tengok kau rajin aje buat kerja rumah. Serupa bibik dah aku rasa. Basuh langsirlah, ganti baju sofalah, mengemop, memvacuum, membasuh. Semua tu kau buat. Relax je", kata Kimi. Disebabkan aku sulung dan perempuan, aku merasa bertanggungjawab untuk melakukan itu semua demi meringankan beban Ma. Tetapi, tak bermaksud aku suka benda tu. Aku sukakan kebebasan.
"Tolak masak lah. Tu Ma dan aku punya kontrak tak beriktiraf", Kimi gelak di hujung ayat. Aku sengih.
"Back to the topic. Nafkah tu akan tetap mencukupi walaupun lelaki tu gajinya rendah. Allah akan cukupkan jugak tanpa disangka. Walaupun gaji kau lebih tinggi dari dia."
Aku menyepetkan mata. "Kau nak kata apa ni?"
Kimi sengih. Angkat bahu. "Keberkatan rezeki seorang lelaki yang jadi ketua keluarga membanting tulang empat kerat demi ahli keluarganya", dia menyudahkan ayat.
Aku diam sejenak. "Walaupun gaji isteri lebih tinggi?", aku mengerutkan dahi.
"What do you expect? Kau ingat kau gaji besar besar, cukuplah semua tu?"
"So kau nak kata tak de keberkatan dalam pendapatan aku, gitu?", aku ketap bibir.
"Aku dah kata, mencari nafkah tugas utama penting lelaki. Jadi keberkatan rezeki itu ada pada dia. Dia yang ikhlas mencari rezeki untuk kau. Bukan aku kata, pendapatan hasil pencarian kau tu tak berkat", jelas Kimi.
Aku mendengus lemah. Peluk tubuh.
"Aku lagi suka kalau perempuan duk rumah. Sebab aku tak nak bini aku lagi panjang akal dari aku. Boleh tercalar pride aku dowh", kata Kimi.
Aku sengih. "Itu memang bukan akulah".
Kimi memandang tepat wajahku. "Jangan independent sangat bab duit ni. Lelaki tak suka."
"Yang tak suka tu, kau aje ngah", bidasku.
"Dah memang tanggungjawab aku sebagai suami", kilas Kimi semula.
"Tak terfikir pun nak kahwin. Aku rasa aku tak perlukan lelaki. Aku boleh atur hidup aku sendiri", kata ku.
"Bunyi sikit punya riak la Long. Termakan kata baru tau", seloroh Kimi.
Aku sengih. "Apa perlunya lelaki dalam hidup seorang perempuan, ngah?", soalku serius. Bagi aku, kalau aku boleh buat semua mandiri, kenapa perlu wujud lelaki dalam dunia aku? Seronok apa hidup tanpa lelaki.
Kimi senyum. "Apa akan jadi kalau kita nak menanam pokok tapi tak de tanah? Apa akan jadi kepada bumi kalau hujan tidak turun setahun? Apa akan jadi kalau nak buat rumah tapi takde acuan simen? Apa akan jadi kalau Ma dan Ba tak kahwin?"
Aku terdiam.
"Pasangan itu keperluan Long. Kalau bukan sekarang, esok esok. Kau pasti perlukan seseorang jugak dalam hidup kau", nasihat Kimi yang merupakan dua tahun lebih muda dari aku.
Kami saling bertukar pandangan. Seketika, Kimi menyedut semula Dalgona Coffee aku. Aku ralit memandangnya.
Seseorang? Aku belum bersedia memikirkannya.

Comments
Post a Comment