CERPEN ERTI RUMAHTANGGA

Writer's note; Cerpen ini merupakan cerpen latihan kendiri untuk sentiasa polishing my knife memandangkan saya selalu mengikuti antologi cerpen. Yang baik datang dari Allah, yang buruk dari saya sendiri. Enjoy! :)


Sekawan burung layang-layang terbang bersama membentuk sebuah bulatan sebelum beransur pecah dan menghilang pergi ke arah lain. Kawasan tasik itu dipenuhi dengan ragam rencam usia. Pancuran air yang terbentang luas di hadapan begitu menenangkan jiwa, meskipun agak terbatas dengan susuk tubuh manusia yang melepak di sana. Dari kejauhan, dia ternampak sepasang kekasih yang sedang dilamun asmara sedang bergelak-ketawa. Matanya tertancap ke arah mereka lama sebelum bibir diketap kuat. Menahan rasa sesuatu yang menyerang jiwa sendiri.

Seakan-akan pada sepasang kekasih itu dia ternampak dirinya dan seseorang. Hatinya bengkak. Air mata yang telah tumpah sejak tiga hari lalu sudah tidak betah dikeluarkan dari kolam mata. Sudah kering dek bermandi tangis raungan yang dilepaskan dari pekung dada bersendirian.

“Oit!”

Bahunya ditepuk membuatkan jantung terasa direnjat elektrik. Dia segera berpaling lipat maut sambil menjegilkan mata ke arah empunya tangan yang menegur dirinya.

“Tak boleh ke bagi salam dulu? Bagi kang!” Marahnya sambil menayang tumbukan. Si kawan tersengih seperti kerang busuk sebelum duduk melabuh punggung di sebelahnya. Dia cepat mengalihkan beg kertas yang berada di sebelah kanan. Kawannya memanjangkan leher ke arah dalam beg kertas jenama Sketchers itu.

Sorry tau aku lambat. Jammed teruk jalan tadi. Tu, hadiah anniversary kau orang ke?”

Dia mengerling sekilas ke arah sahabatnya. Angguk kecil berselang keluhan kecil.

Wajah yang keruh itu cepat ditangkap olehnya. Tangannya naik menyentuh bahu sahabatnya. “Kau okay? Oh, ya! Aku ada beli makanan. Hokkaido chesse tart. Nak tak?” tangannya turun kembali menggagau plastik di sebelah. Bekas dibuka lalu disua ke depannya.

Thanks.” Dia mengambil sebiji tart dari kotak kertas itu. Tart itu hanya dibelek-belek tatkala matanya seakan tembus ke celah pancuran air Taman Tasik Titiwangsa di hadapan.

Sahabatnya diam memerhatikan apa yang mencuri pandangannya. Seketika, tangannya menyentuh kekura tangan yang tak lekang membelek tart dalam genggaman.

“Kau okay, Qaira? Tak nak cerita lebih lanjut dekat aku ke?” soalnya perlahan. Dia sudah maklum kenapa sahabatnya itu mendung semacam. Syuqaira ada menceritakan sedikit perihal hal peribadi kepadanya. Tetapi hanya saja cuma poin-poin yang kelihatan kelam dan samar. Mereka bertemu kerana paksaan dia juga. Dia tahu benar perangai Syuqaira yang jenis tidak membuka cerita selagi tidak bertemu dua pasang mata berhadapan. Sahabatnya itu terlalu berat mulut. Atau mungkin malas menghantui tingkah lakunya.

Qaira tersentak. Dia menoleh ke arah Hurin yang mengerutkan dahi. Mungkin kerana merisaukan dirinya. “Entah la Reen. Aku terkilan dengan perangai dia.”

“Tapi, tu kau ada beli hadiah. Kau nak sambut dengan dia ke?”

Qaira menghela nafas rendah. “Aku sayang dia la aku beli.”

“Jadi, apa masalah sebenarnya?” lambat-lambat Hurin bertanya. Ternaik sebelah keningnya.

Tart digenggam kemas. “Aku benci tengok perangai dia. Aku tak boleh nak hadap dia buat masa ni. Aku sayang dia tapi, hatiku geram dengan perbuatan dia. Faham tak?”

Hurin yang mempunyai kekasih hati sangat memahami perasaan Qaira itu. Benci tapi sayang. Kepalanya cepat mengangguk.

“Dah tujuh tahun kita orang kahwin tapi belum ada zuriat. Kita orang okay aje dengan aturan Tuhan macam ni. Tapi, since balik kampung raya hari tu, aku macam terhina depan semua keluarga husband aku. Dan dia, boleh buat bodoh aje. Dia tak back-up aku langsung. Frust gila aku dibuatnya!” keluhan geram dilepaskan dari pekung jiwa.

Hurin tersentak. “Terhina macam mana?”

Wajah Qaira berubah rentak. Seperti mahu menangis. “Mentua aku tuduh aku mandul.”

Hurin tersentap.

 

QAIRA menolak daun pintu rumah flat yang didudukinya bersama suami. Hari itu, genap seminggu dia menghilangkan diri dari mahligai istana sendiri. Setelah berasa sudah mencapai ketenangan yang diinginkan, dia pulang ke sangkar kembali. Membawa harapan semoga hatinya tidak terusik dengan percik bau kebencian dan debu kemurungan.

Terhenjut bahunya tatkala menoleh ke belakang setelah mengatup rapat pintu rumah. Tadi pintu dibuka dan ditutup sesenyap mungkin. Namun dia terkedu melihat gerangan tubuh yang berada di hadapan. Seingat Qaira, waktu tengah malam seperti ini, suaminya sudah masuk tidur bersama dengkuran kuat. Kenapa dia masih jaga?

Rambut tebalnya diramas kasar tatkala melihat susuk tubuh isterinya di depan mata. Matanya tidak lepas merenung wajah yang dirindui itu.

“You pergi mana selama ni?” suara garaunya mencecah cuping telinga Qaira.

Qaira menelan air liur. “You buat apa ni tak tidur lagi?” soalan berbalas soalan.

Tangan kanannya diseluk dalam poket pijama yang tersarung di tubuh. Wajahnya sukar ditebak oleh Qaira memandangkan seakan tiada ekspreasi yang dipamer.

Langkahnya mula diorak mendekati Qaira. Qaira mula berdebar. Dia terus menyaingi langkah suaminya. Ternyata lelaki itu mahu ke dapur bukan ke arah dirinya. Matanya menangkap pandangan tajam suaminya ke arahnya. Dia baru ingat mahu melepak di ruang tamu saja tetapi memandangkan lelaki itu ada di dalam kawasan yang sama dan dekat, dia membatalkan niat.

“Sayang.” Serunya perlahan.

Kaki Qaira berhenti melangkah masuk bilik. Dia menoleh ke belakang. Kelihatan Zayd mengacu jari telunjuk ke arah sofa dengan tangan yang memegang gelas. Tenungan tajam itu membuatkan Qaira tersentak. Darah menyerbu ke muka. Kalau boleh, dia mahu melepaskan diri sekali lagi. Biar cukup 24 jam, barulah dia betul-betul stabil untuk berhadapan dengan lelaki itu semula.

Dilihatnya Zayd tenang duduk di sofa one seater bersama wajah yang sukar dimengerti. Manakala, hatinya sudah gatal dengan pelbagai tanggapan buruk yang muncul dalam kepala. Kakinya dipaksa membawa menghadap sang suami. Zayd mempersilakan dia untuk duduk berhadapan. Nak tak nak, dia melabuh punggung di sofa twoseater.

Zayd tenang memerhatikan tingkah isterinya yang meletak beg tangan di atas meja berhadapan mereka. Tangan itu membelek telefon di tangan sambil wajahnya tertunduk.

“You masih merajuk dengan I ke?”

Soalan itu mengundang Qaira mendongak kepala tepat ke arahnya. Zayd memicingkan sedikit anak matanya. Wajahnya masih tiada perasa. Qaira terdiam.

“Betul?”

Seketika, Qaira mendengus kecil. Dahi licinnya mula berkedut. “Merajuk apanya kalau kena tuduh bukan-bukan? Orang marah bukan merajuk. Itu pun tak reti nak beza kan ke?”

Zayd tarik senyum. Melihat senyumannya membuatkan Qaira naik geram.

Zayd menggeleng perlahan. Dia memeluk tubuh. “Orang boleh tuduh macam-macam kat you. Tapi, orang tak boleh kawal perasaan you. You pegang fikiran you sendiri. You tau you boleh menidakkan benda tu. Selama ni you relax aje bila orang tanya, ‘bila nak berisi, bila nak mengandung’, right? You did your best buat muka tembok. Tapi, kenapa you nak terasa dengan kata-kata mummy?”

Qaira rasa terpukul dengan kenyataan yang dibentangkan Zayd. Dia menggigit bibir kuat. Kolam mata terasa panas.

“Mummy kata I mandul. You tak dengar ke? Mummy hina I depan semua sedara you. Sikit pun, you tak back-up I.” dia menutur tersekat-sekat. Dada mula rasa sempit dek sebak yang bertandang.

Zayd menjongket tinggi sebelah kening. Bibir tersungging lebar. Sakit hati Qaira melihat senyuman itu. Seakan mengejek saja.

“Siapa kata I tak back-up you? I stay di belakang tabir, sayang. I ada untuk cover semua cerita kita.” Tutur Zayd tenang. Wajahnya begitu tenang dan meyakinkan.

Dahi Qaira berkerut. “Apa maksud you?” soalnya. Matanya meniti susuk tubuh Zayd yang sudah hilang di hadapan. Seketika, terasa tubuhnya menjadi hangat bersatu dalam pelukan kemas lelaki itu. Qaira terkedu.

“You akan tahu tak lama lagi.” Bisik Zayd lembut bersama senyum lebar.

 

ZAYD mendengus geram. Lengan isterinya ditarik ke belakang. “Dah, dah. Jom rehat dulu. Tangan sayang dah sejuk ni.” Arahnya sambil memaut jemari sang isteri ke celah jemari lebarnya. Seketika, Qaira memuncungkan bibir seraya mengikuti langkah suaminya menjauhi pinggir pantai. Separuh badannya sudah lencun dek hempasan ombak yang sedikit mengganas petang itu. Zayd membawanya ke suatu arah. Tangan yang melambai mereka dekati.

Qaira duduk bersimpuh atas tikar setelah membuka selipar. Keluarga Zayd menyertai mereka berdua ke pantai. Mummy, papa, kakak dan adik-adik suaminya membuat piknik di bawah pokok kelapa yang rendang. Tidak jauh dari mereka, berpuluh manusia melepak di segala ceruk tempat yang ada. Kedai makan dan vendor berderet menyapa pandangan. Tetapi, mummy dan kakak ipar Qaira sudah membawa bekal dari rumah siap-siap sebelum keluar. Qaira mahu membantu namun ditolak keras oleh kakak iparnya dek badan berisi dua.

“Qaira nak mihun ke nasi goreng?” soal mummy sambil memegang pinggan kertas.

“Mihun la mummy.” Pinta Qaira. Terharu dengan keprihatinan ibu mentuanya. Zayd di sebelah mencapai sebotol air minuman lalu dibuka dan ditogok perlahan.

“Boleh ke telan tu?” kakak iparnya berbunyi menyoal. Mengenangkan empat bulan Qaira mabuk kerana morning sickness, dia menjadi risau. Takut sekiranya melihat sketsa muntah depan mata. Maunya dia pun ikut sekali.

Qaira tersenyum lalu mengangguk. Pinggan bertukar tangan. Dia mencapai garpu lalu menyuap ke dalam mulut. Dikunyah seperti biasa. Zayd memandang ke arah kakaknya.

“Qaira dah okay since bulan lalu. Dah tak mabuk pun. Tu, melahap macam apa aje.” Seloroh Zayd. Qaira menjeling suaminya. Mereka tertawa.

“Pelik betul mummy dengan Zayd ni. Hari tu, mummy tanya bila nak berisi Si Qaira, diam-diam dia bagitau mummy, tak lama lagi akan berisi. Entah macam mana Zayd tau. Instinct kuat sangat.” Cerita mummy buat kali ketiga. Malu bukan kepalang kerana Qaira sudah tersalah sangka dengan ibu mentuanya dahulu.

Zayd cuma tersengih. “Biasalah. Laki dia kan.” Ujarnya meleret sambil melirik ke arah Qaira yang sudah menunjuk penumbuk di sebelahnya. Merah padam wajah Qaira dengan usikan tersirat yang hanya dia saja memahaminya.

“Macam mana kau tau?” Soal kakak Zayd.

“Qaira kalau marah, dia akan senyap agak-agak kurang 24 jam aje. Tapi hari tu, bukan main marah sampai lari rumah.” Zayd bercerita seringkas mungkin sambil ketawa. Perubahan tingkah laku Qaira membuatkan Zayd tidak habis berfikir. Setelah menemukan kemungkinan yang berlaku, dia berhenti menyoal perangai pelik isterinya. Mungkin, itulah jawapannya. Ada tiupan roh dalam darah daging sang isteri.

Qaira pantas mencubit lengan Zayd. Zayd acah mengaduh kesakitan. Keluarga Zayd hanya tertawa kecil melihat kemesraan mereka berdua. Rumahtangga yang baik mengajarkan kepada kita supaya sentiasa positif dalam cabaran onak duri ujian yang mampir. Sesekali membawa diri untuk menenangkan jiwa dibolehkan tetapi jangan dibiarkan berlarutan sehingga membawa kepada masalah berat. Erti sebenar rumahtangga bukan hanya kepada suka-suka bahagia saja, tetapi tetap mendakap duka-duka bahang yang dijalani sepanjang melalui rintangan ujian yang terbentang. Dan, ia memerlukan dua insan untuk saling berpegang tangan menempuhi tatkala dilanda badai ombak konflik rumahtangga.

 

Feel free to drop a comment ^^

Comments

Popular Posts