Juliette and Potato Boy (Chapter 1)
Writer's note: Hello, Firchad here. This one will be the opening karya for January 2025. For the 1st time, I dive into different genre. I hope you guys will enjoy this novelet. Happy reading!
Disarankan untuk mendengar melodi Merry Go Round untuk mendapat feel lebih ;)
Genre; Fantasy, magical, adventure, love and family
Peringatan: Karya ini tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang telah tiada. Semuanya adalah rekaan semata-mata.
Pekan Forestville begitu
meriah pada seawal jam lapan pagi. Tempat itu terletak di wilayah Greenrich yang
bernaung dalam negara Floordoom. Semua peniaga sibuk mengurus kedai kecil
mereka yang berbaris panjang sepanjang jalan menelusuri pekan. Forestville,
walaupun dikenali sebagai sebuah kampung yang agak terpencil, namun begitu kaya dengan
pelbagai jenis sumber tanaman sayuran dan buah-buahan segar dan unik.
Masing-masing menjalankan aktiviti mencari rezeki di pagi hari yang redup dan
menenangkan. Kedengaran pekan itu riuh sekampung dengan operasi jual-beli.
“Nenek pergi tandas sekejap. Sakit perut pulak.” Nenek Margetta pamit meninggalkan cucunya bersendirian sambil memegang perut yang terasa memulas. Dia hilang di sebalik tirai jarang yang digantung depan pintu kedai usang itu.
Juliette menghela nafas kecil. Ini satu perkara yang tidak disukainya. Pintu di belakang ditatap sebelum dia menyusun rapi sayur-sayuran segar yang dikutip bersama Nenek Margetta dan Atuk Joshua seusai subuh menyinsing tadi.
“Hi, Julietku!”
Sergah seseorang membuatkan Juliette terkejut sehingga bahunya terhenjut. Dia tahu nada itu milik siapa. Juliette mengetap bibir lalu cuba memasang wajah manis kepada pelanggan terawalnya. Lelaki muda ini memang suka mengusiknya dengan memanggilnya sedemikian, hanya kerana dia bernama Romeo. Tak kuasa Juliette nak bagi muka kalau bukan demi nenek! Huh!
“Abang Romeo nak beli apa pagi ni?” Nadanya dibuat-buat ceria. Meluat dalam hati sedaya ditahan. Tak suka tengok muka miang Romeo itu. nampak aje rupawan tapi gatal.
“Abang nak beli Juliette. Eh—”
Mencerlung mata Juliette memandang pelanggan yang seakan sebaya abangnya itu. Romeo pura-pura ketawa lalu mengambil dua biji tomato yang besar, bunga kubis seketul dan radish tiga batang. “Mestilah abang nak beli sayur-sayuran, kan?” Bibir mencebik. Matanya menjeling Juliette. Gurau sikit pun marah. Nasib comel, desisnya dalam hati.
Juliette diam. Tangannya menyambut huluran sayuran yang diberi oleh Romeo. Lalu, dimasukkan dalam beg kertas coklat. Dalam pada itu, dia mengira dalam hati.
“Semuanya 6.5 Wood, bang.”
Romeo mengerut dahi. “Mana ada.” Dia membelek isi dalam beg kertas. “Cuma 5 Wood aje. Jangan nak tipu abang.” Dia terus menyerahkan duit kertas. Diletak atas meja kayu itu. Juliette mengetap bibir. Mukanya merah menahan sabar. Inilah sebabnya dia benci bila nenek tiada walaupun hanya sekejap. Ramai yang ambil kesempatan.
Romeo yang melangkah pergi ditahan oleh Juliette. Dia mendepangkan tangan, menghalang langkah lelaki itu.
“Serahkan 1.5 Wood!”
Romeo mendengus geram. “Abang dah bayar la! Ke tepilah!” bahu Juliette ditolak kasar sehingga terduduk ke tanah. Juliette membulatkan mata ke arah Romeo. Auranya yang garang sehingga terpancar anak mata yang berkilauan sehingga terasa mampu membutakan sesiapa saja yang memandangnya ketika itu membuatkan Romeo terkedu. Bulu roma pantas berdiri.
Romeo mengetap geraham lalu mengeluarkan duit sejumlah yang diminta Juliette lalu dibaling ke arah budak itu begitu saja. Dia terus mencicit lari. Takut dengan Juliette yang seakan ada kuasa luar biasa yang tiada pada kebanyakan rakyat di Greenrich itu. Malu juga satu hal kerana menjadi tumpuan manusia pada pagi yang tenang itu.
Juliette mengutip 1.5 Wood yang dilempar ke tanah. Walaupun jumlah itu sedikit, tetapi baginya ia sangat bernilai kerana itulah punca pendapatan nenek dan atuk yang tega menyaranya sejak dia diserahkan di bawah jagaan sepasang orang tua itu. Nafas dihela panjang. Kaki kembali menuju ke kedai.
Nenek Margetta tercari-cari sesuatu. Tatkala ternampak Juliette, dia mengucap syukur sambil mendekatinya. “Kenapa comot pulak ni?” Debu-debu di belakang baju Juliette dikuis-kuis lembut. Juliette tersenyum riang. Hal sebentar tadi yang sering berlaku tidak akan diceritakan kepada nenek. Disimpan rapi dalam hati saja.
“Kutip ini tadi. Jatuh tergolek.” Katanya lalu menyerahkan duit dalam tangan ke tapak tangan nenek. Tubuh nenek dipeluk erat. Sungguh, dia menyayangi nenek seperti nyawanya sendiri.
Terasa rambut kuning keemasannya yang bertocang lekat separas bahu dibelai-belai lembut oleh nenek. “Nanti kejap lagi atuk sampai la tu. Dia akan tukar giliran dengan Jue tengah hari nanti, ya?”
Juliette menggeleng deras. “Tak payah! Biar jue saja yang menjual. Nenek dan atuk berehat aje, okay?” Dia bercekak pinggang dengan wajah acah ketat. Nenek ketawa saja.
Digosok-gosok kepala Juliette. “Ada-ada ajelah kamu ni. Baiklah kalau itu yang kamu mahu.”
Juliette tersenyum senang.
………………………….
Juliette melihat atuk membuka jam buat kali kelima. Kali ini, jam bulat kecil itu ditutup selepas tiga saat atuk menatapnya. Lalu, atuk bangun perlahan-lahan. Membetulkan urat pinggang yang duduk lama sejak tadi. Juliette tersenyum lega. Akhirnya boleh balik ke rumah.
Juliette pamit masuk dalam kedai kecil, membantu nenek menyusun sayuran
yang tidak habis dijual. Dalam hati Juliette terdetik satu kepelikan, tidak
pernah dia melihat sayuran yang tidak habis dijual itu menjadi layu atau buruk.
Kalau kedai-kedai lain, mahunya esok sudah tidak segar. Dia dapat mengesan itu
dengan mudah melalui pandangan fizikal sayuran saja tetapi, ramai antara
peniaga-peniaga di sekeliling mereka yang tidak telus dalam jual beli. Tidak
kira tanaman sayuran atau buah-buahan.
Sayuran atau buah yang segar akan dihimpun bersama dengan yang kurang segar ataupun sudah buruk. Dan, paling parah, mereka tetap menjualnya dengan harga yang sama. Sungguh tidak jujur. Namun, sebagai budak 11 tahun yang cuma dipandang sebelah mata, Juliette mendiamkan diri. Dia bukan sesiapa. Dia tiada hak untuk bersuara akan keadilan bagi para pembeli yang ditipu oleh peniaga tidak jujur.
Mereka bertiga meninggalkan pekan. Atuk menolak basikal tua sambil berjalan perlahan menyamai langkah kecil nenek. Juliette riang berlari-lari anak menjauhi nenek dan atuk. Dia kembali mendekati setelah langkahnya sedari semakin jauh. Nenek menyanyi kecil untuk menghidupkan suasana. Juliette humming sambil berpusing mengelilingi nenek dan atuk. Atuk tersenyum lebar melihat mereka berdua.
Suasana itu sungguh mendamaikan buat mereka. Sederhana tetapi mengasyikkan.
Sekembali mereka ke rumah yang terletak agak jauh dari rumah kejiranan yang lain, rumah putih di lereng bukit itu disapa oleh sebuah bakul yang bertutup dengan kain putih di atasnya.
“Eh, bakul apa pulak ni?”
Nenek mengerut dahi. Dia memandang atuk. “Tadi sebelum abang pergi, bakul ni ada kat sini ke?”
Atuk menggeleng. Dia dan nenek saling berpandangan.
Juliette lambat-lambat membuka hamparan tuala itu. Dia terkebil-kebil sebelum bertukar teruja.
Nota tulisan berangkai yang tersisip celah kentang diambil lalu dibaca separa kuat.
“Tolong jaga kentang ini sebaik mungkin. Saya percayakan kamu. Kepada, McWilliam.”
Mereka saling berpandangan. “Nampaknya pemilik kentang ni suruh atuk jaga kentang ni baik-baik.” Kata Juliette. Dia mengambil kentang lalu didukungnya. Digomol-gomol kentang itu dengan pipi gebunya. Nenek dan atuk terkejut. Bukan main besar kentang itu! Serupa besar sebuah labu yang ditanam oleh mereka!
Nenek mengambil nota itu lalu diserahkan kepada atuk. Atuk menjauhkan jarak kertas dari mata sambil membetulkan kaca mata bulat di batang hidung. Tiada penama. Namun, intuisinya tinggi menyatakan kentang itu bukan sebarang kentang. Atuk meneguk air liur kesat.
Kertas yang dipegang itu terasa tegang kerana atuk berasa ragu-ragu mahu menjaga kentang tersebut. Belakang tubuh atuk mulai merenik dengan peluh sejuk. Kertas ini hidup, menyatakan bahawa yang menyerahkannya adalah orang yang bukan calang-calang manusia!
Nalurinya membaca emosi di sebalik kertas istimewa berwarna vintage bertukar kepada pink itu. Marah gamaknya sehingga bertukar warna. Menggeletar tangan atuk. Dia dipaksa untuk menjaga ‘barang’ si pemilik kertas yang tidak diketahui siapa tuan badannya itu. Nak tak nak, atuk terus menggenggam kemas kertas itu sehingga bersatu dalam darah dagingnya. Atuk menghela nafas panjang. Dia membuka kembali tangannya yang sudah kosong dek tulisan-tulisan itu sudah terbenam masuk di bawah kulitnya. Bala. Dia mencari bala dengan menjaga ‘barang’ yang langsung tidak dikenali siapa pemilik asalnya.
Atuk yang menggeletar terus menyuruh nenek dan Juliette masuk ke dalam rumah. Terkontang-kanting atuk meninggalkan langkah mereka yang kecil di belakang. Jantungnya berdegup dengan kencang. Nafasnya mencungap tanpa dipinta ibarat baharu bersenam di lereng bukit pada petang itu. Dipandang Juliette yang sibuk membawa kentang itu bercakap sambil membelainya. Atuk menelan air liur.
Nenek yang memandangnya pelik terus terkebil-kebil.
“Dengar sini semua.”
Nenek dan Juliette menatap wajah tegang campur gelisah atuk.
“Kertas tadi beri amanah kepada atuk. Walau apapun yang terjadi, kita mesti jaga kentang ini dengan baik. Jangan sampai ia jatuh ke tangan yang bukan sepatutnya. Jue faham? Nenek?”
Nenek dan Juliette mengangguk faham.
“Mana kertas tu atuk?” Juliette membelek-belek dalam bakul rotan yang dibawa masuk bersama.
Atuk menunjukkan telapak tangannya. Juliette faham. Nyawa mereka kini menjadi taruhan. Apa-apa yang terjadi kepada kentang besar ini, semua adalah tanggungjawab mereka bertiga.
“Kentang ni kentang apa abang? Dia ada bagitau?” Nenek bersuara, agak cemas. Hati tuanya berkongsi gelisah kerana beban menjadi bertambah. Entah apa yang istimewa yang ada pada kentang itu sehinggakan mereka dijadikan sebagai penjaga terpercaya pulak.
Atuk menghela nafas berat. Dia menggeleng kecil.
“Kertas tu tak ada bagitau apa-apa klu. Dia cuma amanahkan kita menjaga kentang itu sebaik yang mungkin. Tapi, ada kemungkinan dia mengenali atuk.” Perlahan suara atuk di hujung ayat. Dia kembali merenung tapak tangannya.
Mereka bertiga berdiam sejenak.
“Esok, atuk kena tanam kentang ni. Manatau rezeki kita kentang-kentang yang lain berbuah. Sudah enam purnama tiada jualan kentang di mana-mana pekan. Semua jenis tanah tetiba menjadi musuh buat kentang. Satu Greenrich langsung tidak ketemu kentang di mana-mana.” Atuk berkata sebelum dia tersentak sendiri. Patutlah kentang ini disuruh jaga baik-baik. Mungkin…
“Entah-entah kentang ni bawak tuah pada kita nanti kut!” Juliette mencelah sambil tersenyum riang.
Atuk dan nenek tersentak. Mereka saling berpandangan sebelum tersenyum lebar.
“Semoga doa Jue makbul.”
…………………………..
Sebulan kemudian, kentang yang daunnya sudah kering-kontang kecoklatan pun dikorek tanahnya oleh nenek dan atuk menggunakan cangkul. Mereka terpana melihat kentang yang tidak pernah berbuah itu tetiba beranak dengan begitu banyak sehingga penuh bakul rotan besar. Nampaknya, doa si kecil Juliette makbul! Mereka bakal mendapat habuan yang lumayan sekiranya menjual kentang-kentang tersebut di pekan. Kentang adalah antara makanan ruji manusia di Greenrich selain biji barli. Negeri jiran mereka iaitu Etherland pulak kaya dengan bunga-bungaan unik dan istimewa. Bunga-bungaan di Etherland dijadikan herba selain sebagai minyak wangi dan penyembur segar tubuh.
Nenek dan atuk termengah-mengah mengangkat tiga buah bakul besar hasil kutipan kentang yang segar lagi montok. Mereka melepas lelah di kerusi di anjung rumah putih itu. Laman mereka dipenuhi dengan hasil kentang tadi. Mereka tersenyum panjang. Selepas ini, boleh mulai menjual di pekan untuk satu bakul besar itu.
Dari jauh, mereka terpandang ke arah Juliette yang mencangkung depan kentang yang dijaga rapi itu. Pokok kentang itu kelihatan muda dan rendah. Sama seperti beberapa minggu yang lepas. Tidak membesar dan mengering seperti pokok kentang yang lain.
Nenek menghilang masuk ke dalam rumah. Mahu memasak sarapan sebelum berangkat menjual. Atuk menghilangkan sisa lelah sebelum mengikuti langkah isterinya. Juliette yang leka dengan tanaman dibiarkan saja. Budak itu tahu-tahu sendiri bila mahu makan. Dengar saja nenek memanggil, pasti dia akan mencicit lari meninggalkan tanaman kentang.
Juliette monyok. Kecewa kerana pokok itu kekal seperti itu. Tidak membesar, tidak mengecil, tidak rosak, tidak reput, tidak juga mengering daunnya. Entah kenapa kejadiannya tidak normal seperti kentang yang lain. Yang bikin hairan, daunnya cuma tiga helai dan berwarna hijau muda. Tangkai dan dahan lembutnya juga begitu.
“Apa yang tak kena dengan awak ni? Minum air, dah. Makan (kena matahari) juga, dah. Kena baja jugak sudah. Tukar tanah, pun sudah.” Juliette meluah rasa sedih yang terbuku di hati pada pohon kentang di hadapannya. Entah berapa kali dia menukar tanah kepada yang sangat berkualiti namun fizikalnya tetap sama.
Terdetik dalam hati Juliette untuk mengorek tanah. Rasa itu menggaru-garu sampai ke hati. Lambat-lambat, dia mengorek tanah dengan kedua tangannya. Kentang sepanjang lengan dan besarnya dua kali ganda itu dibawa keluar.
Juliette bercangkung di hadapan kentang itu. Bibirnya mencebik sedih. Sama kejadiannya seperti mula-mula jumpa kentang tersebut. Tiada akar putih yang tumbuh di sekeliling kentang seperti kentang biasa.
“Oh, Juliette! Kamu masih di sini rupanya. Penat nenek panggil tidak dijawab.”
“Maaf nek.” Juliette bangun lambat-lambat. Dia memeluk pinggang nenek. Rambut tocang lekatnya diusap kasih.
“Kenapa ni?”
“Jue sedih sebab kentang ni tak beranak macam kentang atuk yang lain.” Kembang suaranya di sebalik tubuh nenek. “Jue takut… kalau-kalau kentang ni dah mati sebenarnya.” Luahnya tanpa dipinta.
“Takdelah. Tu, pohonnya kan masih hijau? Maksudnya dia akan berbuah juga nanti. Dia sekarang masih kecil. Macam Jue.” Jelas nenek. Terentang kerut pada dahi Juliette.
“Maksud nenek? Kecil macam Jue?”
Nenek senyum. “Yelah. Jue kan masih kecil? Baru 11 tahun. Samalah dengan pokok kentang ni. Dia belum cukup besar untuk berbuah walaupun badannya besar macam buah labu. Dah, jom makan dulu! Nenek masak sup miso kentang Jue tau! Atuk cakap sedap!”
Juliette yang muncung terus bertukar ceria. Matanya berkilau teruja. “Wah, miso kentang! Okay nenek! Nenek masuk dulu okay? Jue nak tanam balik kentang ni baru Jue makan.”
Nenek angguk lalu menjauhi Juliette. Juliette mengucup kentang itu lalu mendukung ia yang seberat tujuh kilogram itu masuk ke dalam lubang yang dikoreknya tadi. “Duduk elok-elok kat dalam okay, encik kentang.” Katanya. Namun, kentang yang berat itu terasa semakin berat.
Juliette mengerutkan dahi. Berpeluh dia mahu memasukkan kentang itu elok-elok dalam tanah. Tetiba pandangannya menjadi kabur dek kabus tebal. Dia mengerutkan dahi sambil menggosok-gosok mata. Beberapa saat kemudian, muncul seorang budak lelaki. Tegap berdiri di hadapan Juliette.
Terbeliak mata Juliette. Rahang serasa menyentuh tanah. Huhhhh?

Comments
Post a Comment